TEMPAT BERSEJARAH DISEKITAR MASJID TANAH

 

MASJID TANAH

 

Masjid tanah adalah sebuah masjid ditengah-tengah pekan dan dibina pada tahun 1800an oleh seorang Sheikh berasal dari Gujerat. Namun Hj Sulong bin Sibeng orang tempatan yang bekerja keras dalam pembinaannya.

 

Pada awal pembinaan masjid ini dibina dari tanah. Oleh demikian masjid tersebut dikenali Masjid Tanah. Masjid ini pernah menjadi tempat sembahyang bagi orang-orang dari Kampung Tengah, Kampung Durian Daun dan beberapa kampung lain sebelum kewujudan masjid-masjid di setiap kampung di kawasan Masjid Tanah.

 

Pada tahun 1951, masjid ini telah diubah suai dan kini masjid ini hanya dijadikan sebagai tempat persinggahan sahaja setelah masjid baru Masjid Tanah siap dibina.

 

Sumber: MASJID TANAH

 

 

MASJID SULTAN ABDULLAH, MASJID TANAH

 

Masjid Sultan Abdullah (MASA) kini boleh dianggap sebagai mercutanda kepada Masjid Tanah kerana keindahan dan keunikan rekabentuknya. Ia dibina dengan bercirikan timur tengah dan berwarna putih yang banyak masjid mempunyai rekabentuk seperti ini.

 

Masjid ini telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 17 Mei 2019. Pada hari perasmian itu juga masjid ini yang sebelum ini dikenali sebagai Masjid Jamek Putra juga dimasyhurkan sebagai Masjid Al-Sultan Abdullah sempena nama Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong. 

 

Sumber: MASJID SULTAN ABDULLAH MASJID TANAH

 

 

RUMAH WARISAN MELAYU LONDANG  

 

Rumah tradisi Melayu yang indah ini tersegam diatas tapak seluas satu hektar di Londang. Pembinaan rumah ini telah diusahakan sepenuhnya dari datuk Hjh ENdon binti Hj Said dengan menggunakan kayu cenai. Rumah ini asalnya beratapkan rumbia dan ukiran-ukiran halus yang terdapat disini adalah ukiran tangan yang telah berusia lebih seratus tahun. Rumah ini telah diwarisi oleh tiga generasi dan kini dimiliki oleh Pn Hjh Hendon binti Hj Said.

 

Keadaan persekitaran rumah ini sangat cantik namun ia bukanlah semulajadi. Kecantikan dan keunikan rumah ini sering menjadi liputan akhbar dan seringkali dilawati oleh pelancong dari dalam dan luar hegara. Pada tahun 1993 rumah ini telah didaftarkan di Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)

 

Alamat: Batu 9 ½ Kampung Londang 78300 Masjid Tanah Melaka

 

Sumber: RUMAH WARISAN MELAYU LONDANG

 

 

KOTA BELANDA, BUKIT SUPAI KUALA LINGGI

 

Kedudukan kota ini terletak di kawasan tebing tinggi di sebelah kanan muara Sungai Linggi dan ianya berhampiran pantai Selat Melaka. Disebut sebagai Kota Kuala Linggi kerana kedudukannya yang terletak di muara Sungai Linggi. Ianya juga dikenali sebagai Kota Bukit Supai kerana setelah kota ini siap dibina, pihak Belanda telah menempatkan sepasukan tentera upahan yang dipanggil sipoi (Supai). 

 

Selain itu kota ini turut disebut sebagai Kota Meriam Patah kerana di lokasi ini turut telah ditemukan beberapa meriam yang telah patah setelah kota ini tidak lagi digunakan. Kota ini juga turut dikenali sebagai Kota Filipina sempena mengambil nama anak perempuan Gabenor Belanda.

 

Seperti yang sedia maklum kota ini turut ditempatkan sepasukan askar untuk meninjau sebarang pergerakan di Laut Selat Melaka dan sebagai kubu pertahanan serangan musuh-musuh Belanda. Disamping itu, kota ini juga berperanan memungut cukai hasil bijih timah yang dibawa keluar dari pedalaman Rambau dan Linggi. Selepas Belanda tidak lagi memerintah Melaka kota ini telah ditinggalkan dan bangunan-bangunan terbiar runtuh.

 

Sumber: KOTA BELANDA BUKIT SUPAI KUALA LINGGI

 

 

BATU MEGALITH ALOR GAJAH

 

Di daerah Alor Gajah terdapat hampir seratus kawasan pusara purba yang dikenali sebagai Megalith Datuk Tua. Ia dipercayai sebagai kubur nenek moyang mereka. Salah satu kawasan purba yang telah dikenalpasti ialah di Kampung Cerana Putih, Simpang Ampat, Alor Gajah. Megalith telah wujud dengan pelbagai saiz yang tidak seragam.

 

Ada yang mengatakan batu megalith biasanya boleh dilihat ditanah perkuburan dan ada unsur mistik disebalik batu megalith yang hanya dilihat sebagai tugu. Sesetengah masyarakat menyatakan bahawa batu megalith adalah batu hidup merujuk kepada pemujaan manusia yang percaya setiap batu mempunyai roh dan kuasa luar biasa.

 

Batu megalith bukan sahaja dikenali sebagai batu hidup, ia juga dikenali batu besar atau tugu seperti nama Datuk Tua, Datuk Serban Kuning, Datuk Nisan Tinggi, Datuk Bongsu, Datuk Maraja Lela, Datuk Mata dan sebagainya. 

 

Sumber: BATU MEGALITH ALOR GAJAH 

 

 

KUBUR BRITISH

 

Kubur British ialah sebuah kubur yang terletak disebelahan kantin Sekolah Kebangsaan Alor Gajah 1, Alor Gajah, Melaka. Pada tahun 1829 pihak Inggeris telah menyerang Naning buat kali kedua. Walaupun pihak Inggeris menang dalam peperangan tersebut, ramai tentera yang terkorban dalam peperangan tersebut dan mangsa-mangsa peperangan disemadikan di dalam kubur ini. 

 

Alamat: Kubur Inggeris, Sekolah Kebangsaan Alor Gajah 1 78000 Alor Gajah Melaka.

 

Sumber: KUBUR BRITISH 

 

 

MUZIUM ADAT ISTIADAT

 

Muzium Adat Istiadat terletak di Bandar Alor Gajah bersebelahan Tugu Keris Majlis Perbandaran Alor Gajah. Senibina tradisional Rumah Melayu adalah identiti utama muzium ini. Fokus utama muzium merangkumi sejarah awal Daerah Alor Gajah termasuk gambar tokoh-tokoh daerah dan adat istiadat perkahwinan dengan penekanan kepada Melayu Serantau.

 

Bahan pameran termasuk pelamin, alat perhiasan diri, porselin dan peralatan adat istiadat. Muzium Alor Gajah dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka Tan Seri Abdul Rahim bin Datuk Tamby Chik pada 19 Oktober 1990. Bangunan ini dahulunya dibawah pengawasan Majlis Daerah Alor Gajah sebelum diambil alih oleh Perbadanan Muzium Melaka.

 

Alamat: Muzium Adat Istiadat, Dataran Keris 78000 Alor Gajah Melaka

 

Sumber: MUZIUM ADAT ISTIADAT

 

 

MUZIUM WARISAN DAN SEJARAH NANING

 

Asalnya bangunan ini dijadikan kediaman dan balai rasmi penghulu Naning. Mula digunakan pad tahu 1953 sebagai Pusat Pentadbiran Adat Perpatih Naning. Tahun 2015, bangunan ini secara rasmi diserahkan kepada Perbadanan Muzium Melaka. Bangunan ini dijadikan sebagai Muzium Warisan dan Sejarah Naning bagi menempatkan bahan-bahan pameran dan pusat penerangan bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke Melaka.

 

Penubuhan Muzium Warisan dan Sejarah Naning bermatlamat untuk mempamerkan sejarah warisan Naning untuk tatapan masyarakat umum, sebagai pusat penyebaran maklumat, pameran dan rujukan berkaitan warisan dan sejarah Naning dan juga sebagai produk pelancongan berteraskan pendidikan yang boleh dimanfaatkan dan memberi hasil kepada masyarakat tempatan.

 

Alamat: Jalan Datuk Naning 78000 Alor Gajah Melaka

 

Sumber: MUZIUM WARISAN DAN SEJARAH NANING 

 

 

RUMAH API TANJUNG TUAN

 

Rumah Api Tanjung Tuan terletak di Daerah Alor Gajah yang merupakan rumah api yang tertua di Malaysia. Rumah Api ini dibina tahun 1819 oleh kerajaan British. Ia berfungsi untuk membantu kelasi, kapal-kapal dagang dan nelayan untuk singgah ke pelabuhan. 

 

Rumah api ini asalnya daripada bangunan kayu sahaja tetapi kini telah diganti dengan bangunan batu dan dilengkapi dengan sistem lampu yang memenuhi piawai antarabangsa. Di tepi rumah api ada lorong denai menuju ke Tok Keramat Lala dan medan tinjau Pulau Intan. Laluan denai daripada batu telah dibina oleh Jabatan Perhilitan Melaka. Disebabkan faktor-faktor keselamatan, rumah api ini tidak dibuka kepada orang ramai

 

Sumber:RUMAH API TANJUNG TUAN

 

 

PUSAT PELANCONGAN DISEKITAR MASJID TANAH

 

TAMAN ANGGUR AMANDA PUTRI RAMUAN CHINA BESAR

 

Taman Anggur Amanda Putri dimiliki oleh En Dol Malek Md Sap dan isterinya Pn Maizah Jalil di Ramuan China Besar, Lubok China. Kebun milik mereka dimajukan sebagai lokasi untuk penggemar menikmati pelbagai jenis varian anggur. 

 

Kini En Dol Malek masih dalam peringkat mencuba menanam pelbagai varian anggur seperti jupiter, ninel dan velles yang mempunyai warna dan rasa yang berbeza. Beliau membuktikan kemajuan inovasi dan teknologi membolehkan anggur ditanam dan tumbuh subur melalui sistem penjagaan sempurna. 

 

Alamat: Amanda Putri’ Garden Ramuan China Besar, Lubok China, Melaka.

 

Sumber: TAMAN ANGGUR AMANDA PUTRI

 

 

JAMBATAN KUALA LINGGI

 

Jambatan Kuala Linggi merupakan jambatan yang menghubungkan Kg Tanjung Agas dan Kuala Linggi merentasi Sungai Linggi. Sungai ini merupakan sempadan antara Melaka dan Negeri Sembilan. Jeti yang berdekatan dengan ini merupakan salah satu lokais memancing dan terdapat banyak bot-bot nelayan dikawasan jeti ini.

 

Terdapat banyak hutan paya bakau yang masih lagi terpelihara disepanjang sungai dan disebelah Melaka terdapat satu hutan lipur yang sudah ditutup.Kira-kira beberapa tahun yang lalu sebelum kewujudan jambatan ini, perahu tambang menjadi pengangkutan utama menghubungkan kampung dikawasan Negeri Sembilan dan Melaka. Apabila jambatan Kuala Linggi ini siap dibina tahun 1990-an perhubungan jalan raya telah menjadi keutamaan. 

 

Sumber: JAMBATAN KUALA LINGGI 

 

 

KOMPLEKS FALAK AL-KHAWARIZMI

 

Kompleks Falak Al-Khawarizmi merupakan sebuah kompleks ilmu falak/astronomi yang dibangukan oleh Kerajaan Negeri Melaka. Kompleks ini merupakan kompleks falak yang terbesar di Malaysia yang mengandungi Balai Cerap, Planetarium dan Pusat Latihan yang menyediakan kemudahan penginapan, bilik-bilik kuliah, auditorium, dewan seminar, galeri pameran, dewan tayangan, pelantar cerapan dan kubah cerapan.

 

Kompleks ini ditubuhkan untuk memartabatkan ilmu falak ke dalam masyarakat melalui kemudahan pembelajaran dan aktiviti pelancongan. Aktiviti-aktiviti pelancongan pendidikan astronomi seperti lawatan galeri, tayangan dokumentari sains berbentuk planetarium dan 3D, cerapan hilal dan cerapan langit malam. 

 

Alamat: Kg Balik Batu, Tanjung Bidara 78300 Masjid Tanah Melaka

 

Sumber: KOMPLEKS FALAK AL-KHAWARIZMI

 

 

PUSAT KONSERVASI DAN PENERANGAN PENYU

 

Pusat penerangan penyu padang kemunting merupakan pusat konservasi untuk penyu karah yang merupakan antara penyu yang tercantik didunia. Penyu tersebut dikenali sebagai “hawksbill turtle” kerana keunikan mulutnya yang menyerupai paruh burung helang. 

 

Pusat pengeramannya boleh menampung 300 hingga 600 sarang telur pada satu-satu musim bertelur. Setiap sarang penyu adalah sedalam 45cm dan telur penyu biasanya mengambil masa lebih kurang 60 hari untuk menetas. Anak penyu yang menetas perlu dilepaskan ke laut dan akan kembali ke pantai kelahiran apabila matang.

 

Penyu karah merupakan spesis yang sangat terancam. Kawasan pantai padang Kemunting merupakan salah satu kawasan pendaratan penyu karah yang paling banyak mendarat yang pernah direkodkan di Negeri Melaka.

 

Alamat: Pusat Konversasi dan Penerangan Penyu, Padang Kemunting 78300 Masjid Tanah Melaka.

 

Sumber: PUSAT KONVERSASI DAN PENERANGAN PENYU

 

 

PANTAI TANJUNG BIDARA

 

Pantai ini terletak 10 km dari bandar Masjid Tanah dan 2 km dari Kem Terendak merupakan pantai perkelahan yang terkenal di negeri Melaka. Menara kawalan pantai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia turut terdapat di sini bagi membantu orang ramai yang mengalami kecemasan sewaktu mandi di Pantai Tanjung Bidara.

 

Pantai kegemaran ramai ini juga turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta, padang permainan kanak-kanak, surau, medan selera, tandas awam dan bilik mandi untuk keselesaan para pengunjungnya.

 

Sumber: PANTAI TANJUNG BIDARA

 

 

PANTAI PENGKALAN BALAK

 

Pantai Pengkalan Balak pantai yang popular dengan pelbagai bentuk chalet persendirian ini memberikan peluang kepada pelancong dan pengunjung untuk menginap dan menikmati suasana pantai. Para pengunjung juga berpeluang menyaksikan nelayan-nelayan yang pulang membawa hasil laut menjelang senja hari.

 

Pengunjung ke Pantai Padang Kemunting akan berpeluang melihat penyu karah, sepsis yang hampir pupus. Pusat Penetasan Penyu Jabatan Perikanan di Padang Kemunting berperanan dalam menyelamat dan melindungi penyu karah ini.

 

Berdekatan pantai terdapat Kompleks Falak al-Khawarizmi yang menempatkan Balai Cerap, Planetarium, Pusat Latihan Falak dan Balai Cerap Robotik.

 

Sumber: PANTAI PENGKALAN BALAK

 

 

PANTAI TELOK GONG 

 

Pantai Telok Gong Melaka merupakan kawasan pantai dengan sebuah perkampungan tradisionla. Pantai yang cantik ini menjadi destinasi pelancongan popular. Pantainya bersih dan menawarkan pemandangan yang menarik.

 

Bagi anda yang inginkan ketenangan, percutiandi chalet-chalet berhampiran pantai pasti mendamaikan. Terdapat juga restoran-restoran yang menjual pelbagai jenis makanan yang menarik dan yang penting sedap.

 

Sumber: PANTAI TELOK GONG

 

 

TANJUNG BIDARA BEACH RESORT

 

Tanjung Bidara Beach Resort bertaraf 3 bintang terletak 25km dari lapangan terbang Batu Berendam. Hotel ini menyediakan bilik-bilik tetamu selesa dilengkapi dengan kawalan iklim, tandas berasingan dan cermin. Malahan juga sesetengah unit bilik menawarkan pemandangan laut yang cantik terutama ketika matahari terbenam.

 

Antara kemudahan-kemudahan yang disediakan kepada para pelanggan Tanjung Bidara Beach Resort ialah WiFi percuma, penyaman udara TV,kemudahan dapur, restoran, ruang istirahat dan juga tempat letak kereta tetamu.

 

Sumber: TANJUNG BIDARA BEACH RESORT

 

 

 

TROPICAL FARM SG UDANG MELAKA

 

Konsep yang benar-benar moden, dikomersialkan dan menarik, Ladang Buah Tropika di Sungai Udang. Ladang ini memberi peluang kepada pengunjung merasai alam semula jadi secara dekat. Banyak kemudahan-kemudahan dan aktiviti yang boleh dilakukan seperti berkayak, memancing, zoo mini dan juga penginapan turut disediakan.

 

Selain itu, pengunjung juga boleh melawat ladang buah-buahan, tapak herba, taman buah-buahan, sawah padi, zoo mini, pasar seringgit, pasar buah-buahan, galeri pameran dan juga aquarium Ikan air tawar.

 

Sumber: TROPICAL FARM SUNGAI UDANG

 

 

 

TEMPAT REKREASI DISEKITAR MASJID TANAH

 

 

TAMAN REKREASI DURIAN DAUN

 

Taman Rekreasi Durian Daun adalah tarikan utama untuk ahli keluarga datang beriadah pada waktu petang. Di taman ini pelbagai aktiviti yang dijalankan seperti aktiviti zuma, memancing, berbasikal dan juga joging. Taman rekreasi ini dikelilingi kolam tebatan banjir milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). 

 

Di taman rekreasi Durian Daun juga memiliki gerbang yang cantik untuk bergambar ketika menjalankan aktiviti sukan. Banyak alat permainan disediakan untuk kanak-kanak dan terdapat jualan-jualan disekitar taman yang menarik lebih ramai pengunjung.

 

Alamat: Kampung Durian Daun 78300 Masjid Tanah Melaka

 

Sumber: TAMAN REKREASI DURIAN DAUN

 

 

TAMAN REKREASI BUKIT BERINGIN

 

Taman rekreasi Bukit Beringin sesuai untuk ahli keluarga beriadah bersama anak-anak kerana kawasan tersebut luas dan mempunyai tasik buatan yang dipenuhi dengan bunga teratai. Disini taman tersebut menyediakan taman-taman permainan untuk anak-anak, padang bola sepak, gelanggang tenis, surau dan terdapat juga medan selera.

 

Sumber: TAMAN REKREASI BUKIT BERINGIN

 

 

 

SUNGAI UDANG RECREATIONAL FOREST

 

Hutan Rekreasi Sungai Udang merupakan sebahagian daripada rizab Hutan Simpan Sungai Udang. Tergolong dari jenis hutan yang kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna. Pengunjung boleh melakukan aktiviti-aktiviti seperti bird watching, berkhemah, merentas denai dan juga aktiviti riadah seperti berjoging. 

 

Suasana hutan lipur yang permai sesuai untuk menjalankan aktiviti santai serta berkelah bersama keluarga. Hutan rekreasi Sg Udang dibahagi empat zon utama. Pertama kawasan rekreasi dikawasan persekitaran pintu masuk dan kemudahan rekreasi. Kedua zon berkhemah untuk menjalankan aktiviti berkumpulan. Ketiga zon “Nature Interactive Area dan zon keempat kawasan hutan.

 

Alamat: Hutan Rekreasi Sungai Udang 76300 Sungai Udang Melaka

 

Sumber: HUTAN REKREASI SUNGAI UDANG

 

 

TAMAN REKREASI DATUK WIRA POH AH TIAM

 

Taman Rekreasi Datuk Wira Poh sesuai untuk beriadah dan bersenam. Aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan bersama ahli keluarga ialah berbasikal, berjoging, bermain di taman permainan bagi kanak-kanak dan lain-lain. Suasana yang tenang dan damai sesuai untuk bersukan dan bersenam pada waktu pagi dan petang. 

 

Alamat: Datuk Wira Poh Ah Tiam Machap Recreational Park, Kampung Machap Lama 76100 Alor Gajah Melaka

 

Sumber: TAMAN REKREASI DATUK WIRA POH AH TIAM